Tuesday, August 10, 2010

Mahasiswa berparti- politik? Biar mahasiswa yang tentukan…

Sejak pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada 1970-an di mana kerajaan terpaksa meletakkan batasan atau sempadan terhadap kebebasan mahasiswa untuk bergiat dalam parti politik, penglibatan mahasiswa dalam parti politik hangat dibicarakan baik dalam kalangan mahasiswa ataupun para akademia. 4hb Ogos yang lalu, kenyataan dan cadangan Datuk Saifuddin dalam Soal Jawab TV3 yang bersetuju bahawa mahasiswa wajar dibenarkan berparti politik merupakan satu idea yang cukup berani di mana mahasiswa diberi kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya bahawa mereka mampu dan dapat berfikir secara matang serta mampu membezakan antara yang baik dengan yang buruk.

Bagi mahasiswa, sudah tentu kami berasa amat gembira dengan kepercayaan dan keyakinan yang diberi oleh YB Timbalan Menteri Pengajian Tinggi. Apa yang diperkatakan oleh beliau sememangnya benar sekali apabila menyatakan bahawa mengambil cakna perkembangan politik semasa merupakan proses yang akan membentuk dan melahirkan mahasiswa yang berpandangan jauh serta berfikiran matang. Namun, kami berpendapat bahawa melibatkan diri dalam parti politik secara langsung dan berdaftar sebagai ahli parti bukan satu- satunya cara untuk mengikuti perkembangan isu-isu politik. Persoalannya, adakah kebebasan untuk menyertai parti politik jauh lebih penting berbanding proses untuk melahirkan graduan yang boleh berfikir secara kritikal, berdaya saing, berpengetahuan luas, berketrampilan serta mempunyai kemahiran dalam bidang masing- masing??? Persoalan ini mesti dijawab dan dijustifikasi sebelum pihak kerajaan membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyertai parti politik.

Berbalik kepada AUKU khususnya Seksyen 15 yang tidak membenarkan mahasiswa menyertai parti politik, kami amat tidak bersetuju dengan pandangan yang mengatakan bahawa peruntukan undang- undang ini membantutkan perkembangan mahasiswa. Terdapat juga hujah- hujah yang menyatakan mahasiswa tidak mampu terkehadapan selagi Seksyen 15 tidak dipinda. Sebenarnya, kita patut melihat dan mengupas isu ini daripada perspektif yang lebih menyeluruh. Menyertai parti politik bukan satu- satunya langkah untuk melahirkan mahasiswa minda kelas pertama. Banyak perkara lain yang jauh lebih penting perlu diberi perhatian. Dari sudut pandangan para aktivis, sudah tentu sesiapa sahaja boleh menjadi pemimpin. Selagi mandat diberi melalui pilihan raya, “postman” “penjual ikan” pun boleh menjadi wakil rakyat. Kini, kita bukan sekadar mahukan pemimpin yang boleh berhujah di khalayak ramai, tetapi juga mestilah mempunyai kredibiliti dan kelayakan untuk menerajui negara. Ini secara tidak langsung menjadi tunjang kepada pembangunan negara sekali gus mengharumkan nama negara kita di persada antarabangsa. Sewajarnya, mahasiswa yang bakal menjadi pucuk pimpinan negara mesti memberi keutamaan kepada pelajaran serta meningkatkan soft- skill masing- masing sewaktu berada di menara gading. 3 atau 4 tahun berada di institusi pengajian tinggi merupakan tempoh yang amat singkat, masa ini akan menjadi sia- sia sekiranya kita tidak menggunakannya secara berfaedah. Sekali lagi kami tegaskan, kami tidak menafikan kebebasan mahasiswa untuk berparti- politik. Akan tetapi, kami berpandangan bahawa 3 tahun berada di universiti wajar digunakan sebaik-baiknya untuk menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang masing- masing dan meningkatkan soft- skill melalui penglibatan dalam program- program yang bersifat ilmiah, kebudayaan, kepimpinan, riadah dan lain-lain lagi.

Kami tidak menolak bahawa mahasiswa tidak boleh bergiat dalam parti politik selama-lamanya, tetapi kami merasakan bahawa belum sampai masanya lagi untuk membuka ruang kepada mahasiswa untuk menyertai parti politik. Pandangan ini bukan tidak berasas, berbagai- bagai aspek perlu diberi perhatian. Pelbagai persoalan perlu dijawab terlebih dahulu. Sudah tentu ada baik dan buruknya. Menurut Tan Sri Ibrahim Abu Shah,“Kita patut melihat samada perkara ini membuahkan kesan positif yang lebih banyak ataupun kesan yang sebaliknya”.

Kini, sebahagian besar masyarakat kita telah hilang keyakinan terhadap parti- parti politik di Malaysia samada Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Faktornya bukan disebabkan kerajaan tidak berusaha atau tidak mengambil inisiatif untuk mengembalikan situasi politik yang lebih stabil, tetapi masyarakat sendiri mempunyai persepsi yang amat negatif terhadap scenario politik di negara kita. Walaubagaimanapun, rakyat tidak patut dipersalahkan sama sekali dek kerana mainan politik yang melampau-lampau sehinggakan masyarakat meragui keikhlasan ahli- ahli politik dalam memperjuangkan kesejahteraan dan pembangunan negara. Keraguan dan kesangsian masyarakat inilah yang mendorong kepada hilangnya keyakinan terhadap ahli- ahli politik serta parti politik di negara kita amnya. Keyakinan rakyat terhadap pimpinan negara adalah amat penting dalam pembangunan negara bagi merealisasikan impian Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju serta berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 seperti yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri Dato’ Sri Najib dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10). Masalah ini juga menjurus kepada segelintir rakyat yang tidak yakin dengan negara sendiri sehinggakan sanggup menetap di negara lain seperti Australia, Canada, Singapura, US dan sebagainya. Inilah menjadi faktor “Brain- drain” di mana negara kita kehilangan sumber manusia ‘Human Capital’. Negara kita kaya dengan sumber asli, tetapi oleh kerana ‘kehausan’ dan ‘ketandusan’ sumber manusia menyebabkan kita masih jauh tertinggal di belakang Singapura. Maka, kita perlu bijak membezakan apakah sebenarnya yang lebih utama buat pembangunan negara sama ada kebebasan mahasiswa untuk berpolitik atau pembentukan mahasiswa minda kelas pertama???

Suasana politik di negara kita tidak memerlukan pimpinan yang terlalu radikal dan taksub dengan ideologi politik tersendiri bagi memperjuangkan pembangunan rakyat dan negara. Kami berpendapat bahawa suara mahasiswa masih ada ruang dan diberi perhatian oleh pelbagai lapisan masyarakat sekiranya mahasiswa itu bebas berfikir, bebas membuat keputusan dan bebas mengkritik tanpa dipengaruhi oleh ideologi politik. Selama ini, kami tidak teragak- agak untuk menyuarakan sebarang ketidakpuashatian kepada mana- mana pihak kerajaan kerana kami adalah bebas dari kongkongan mana- mana parti politik. Atas dasar inilah yang memberi keyakinan kepada masyarakat bahawa mahasiswa- mahasiswi mampu berfikir secara matang dan rasional dalam membuat sebarang keputusan sekali gus mampu memacu negara kita selaras dengan cita-cita murni rakyat Malaysia merealisasikan wawasan 2020.

Dalam hal ini, mahasiswa yang tidak menyertai parti politik sebenarnya memainkan peranan yang amat besar untuk pembangunan negara. Realitinya, kami tidak mampu menyediakan infrastukstur yang berbillion- billion kepada masyarakat; namun kami mampu menyumbang dari segi modal insan serta pemikiran yang terbuka untuk membantu kerajaan membangunkan negara. Kalaulah masyarakat hari ini tidak menerima konsep 1 Malaysia hanya kerana idea ini dibawa oleh Barisan Nasional, namun begitu biarlah mahasiswa yang membawa konsep 1 Malaysia ke kampung- kampung, biarlah mahasiswa yang bebas memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India, biarlah mahasiswa yang bebas mempromosikan toleransi antara kaum, biarlah mahasiswa yang bebas menyakinkan rakyat bahawa negara kita boleh terkehadapan dan biarlah mahasiswa merealisasikan Wawasan 2020. Mahasiswa boleh melaksanakan kesemua ini selagi kami tidak membawa ideologi parti politik masing- masing.

Seperti yang diperkatakan oleh YB Timbalan Menteri, mahasiswa zaman sekarang mampu berfikiran secara matang dan boleh membuat pertimbangan yang tersendiri, maka pihak kerajaan perlu yakin bahawa kami telah berfikir secara matang dan membuat pertimbangan secara rasional bahawa belum sampai masanya lagi untuk membuka ruang kepada kami untuk menyertai parti politik sewaktu kami masih menuntut di menara gading. Saya mengharapkan supaya pihak kerajaan mengekalkan ‘status-quo’ dan tidak terburu-buru membuat keputusan untuk membawa suatu perubahan yang bakal mendatangkan pelbagai impak negatif kepada masyarakat dan negara.

JR
Presiden
Persatuan Mahasiswa Undang- Undang Asia
Fakulti Undang- Undang
Universiti Kebangsaan Malaysia