Friday, September 17, 2010

Peranan Mahasiswa Mengembalikan Keakraban Malaysia dan Indonesia.

"Jambatan bukan hanya dibina melalui konkrit, malah ia boleh terbentuk melalui interaksi kemanusiaan”, kenyataan ini menunjukkan betapa mustahaknya memupuk persefahaman antara sesama manusia. Kenyataan ini adalah ekoran situasi di mana kedutaan Malaysia di Jakarta, Indonesia, telah diserang oleh sekumpulan rakyat Indonesia. Malah, kumpulan ini turut membaling najis pada bendera Malaysia serta kawasan kedutaan besar Malaysia. Demonstrasi ini dipercayai didalangi oleh kumpulan yang tidak bertanggungjawab yang bermotif menimbulkan perasaan marah rakyat Malaysia.

Konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia yang mana bermulanya pada 17 September 1963, di mana Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Indonesia. Konflik antara 1963 hingga 1966 memperlihatkan beberapa usaha ke arah menjernihkan kembali hubungan baik dua negara. Puncak kepada tamatnya konfrontasi ini ialah pada 3 Ogos 1966 apabila Suharto iaitu Presiden baru Indonesia, mengumumkan tamatnya dasar konfrontasi terhadap Malaysia dan perjanjian untuk memulihkan hubungan Malaysia dan Indonesia telahpun ditandatangani.

Kepimpinan berkarisma serta berwibawa Bung Karno dan Pak Harto selama ini dilihat sebagai pimpinan yang mengamalkan ciri- ciri konfrontasional. Namun pasca merdeka Republik Indonesia, proses pembinaan Indonesia menampakkan bagaimana ideologi PANCASILA mempengaruhi pembentukan bangsa Indonesia. Bagi Malaysia yang mana kemajuannya dicapai melalui acuan sendiri tanpa menggugat negara - negara serantau sehinggakan Malaysia kini dimartabatkan sebagai negara ke-37 terbaik di dunia dalam Senarai 100 Negara Terbaik yang diterbitkan oleh majalah Newsweek baru- baru ini. Acuan sejarah pembinaan bangsa dan negara masing- masing patut senantiasa dijadikan sebagai rujukan terutamanya dalam menangani konflik- konflik serantau supaya apa jua tindakan yang diambil tidak bertentangan dengan fitrah dan norma masyarakat tempatan.

Tiga hari sebelum Malaysia menyambut Hari Merdeka, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Najib bin Tun Abdul Razak berkata, “kedua- dua Malaysia dan Indonesia mempunyai kepentingan bersama dan tidak seharusnya membiarkan perkara ini menjadi sesuatu yang boleh mengancam hubungan dua hala”. Sehari selepas Hari Merdeka Malaysia, pada 1hb September 2010 yang lalu Presiden Indonesia, Susilo Bambang menyatakan bahawa, Indonesia mempunyai hubungan sejarah, budaya dan kekerabatan yang sangat erat- dan mungkin yang paling erat dibanding negara- negara lain, dan sudah terjalin selama ratusan tahun. Dalam mengupas soal hubungan Indonesia-Malaysia, beliau turut berkata, “kita mempunyai tanggungjawab sejarah, iaitu untuk memelihara dan melanjutkan tali persaudaraan ini”. Kenyataan daripada kedua- dua pemimpin ini jelas memaparkan betapa pentingnya hubungan kerjasama serantau antara Indonesia dan Malaysia.

Mengambil kira banyak persamaan yang kita kongsikan bersama- sama Indonesia, hubungan kedua- dua negara itu sepatutnya sudah erat sejak dahulu. Kedua- dua Indonesia dan Malaysia dilihatkan sebagai sebuah keluarga besar yang berada dalam rumpun yang sama. Menurut bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir, “kalau bahasa kita sama, seharusnya salah faham antara kita tidak sepatutnya berlaku”. Dalam banyak keadaan, hubungan keakraban kekeluargaan ini “dicemari” insiden- insiden yang kurang menyenangkan. Walaubagaimanapun, ia tidak patut diheboh- heboh dan diperbesarkan, bak kata pepatah, ayam yang bertelur sebiji, riuhnya hingga sekampung. Sebenarnya, konflik ataupun perselisihan yang berlaku boleh diibaratkan umpama si kakak memukul si adik. Pertelingkahan kecil- kecilan sememangnya bukan bersifat kebencian dan berdendaman, malah ia bertujuan mendidik. Ini mengimplikasikan bahawa pertelingkahan tidak akan berpanjangan dan sudah tentunya ia dapat diselesaikan secara harmoni melalui toleransi dan sikap keterbukaan kedua- dua negara jiran.

Barangkali, anasir- anasir jahat dan pelbagai hasutan yang dilontarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang bermotif memporak- perandakan keluarga ini seolah- olah menyimbahkan minyak ke atas api yang sedang marak. Melihat kepada persoalan ini, penyelesaiannya bukannya dengan mencurahkan air sejuk mahupun minyak panas. Api yang sedang membara memerlukan kedua- dua pihak mengolah langkah seterusnya mengambil tindakan penyelesaian yang bersesuaian, inovatif dan praktikal supaya dapat menghalang api daripada merebak.

Dalam usaha menangani masalah- masalah bersifat bilateral, belia terutamanya golongan mahasiswa sebenarnya memainkan peranan yang amat penting. Kesepakatan mahasiswa mampu menjadi suara penyatuan khususnya melalui penglibatan dalam aktiviti- aktiviti seperti program pertukaran pelajar yang dikenali sebagai Students Exchange Program, program antarabangsa dan sebagainya. Persidangan Global Model United Nations (GMUN 2010) yang dianjurkan di Malaysia pada 16 Ogos 2010 yang lalu merupakan antara platform paling sesuai dalam memupuk perpaduan sejagat, dari sudut akar umbi ini. Para peserta berkesempatan mengembangkan perhubungan merentas budaya antarabangsa yang berpanjangan dengan para peserta lain. Penglibatan peserta- peserta dalam aktiviti sebegini rupa memberi satu saluran kepada para peserta untuk mencetuskan idea, pendapat dan penyelesaian alternatif kepada isu- isu global. Pendedahan para peserta khususnya belia yang juga mahasiswa kepada perbincangan topik- topik global seterusnya mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi melatih kita supaya berpandangan jauh. Ia membuka lembaran kita untuk belajar berhadapan dan menerima pandangan yang berbeza- beza.

Persoalannya, adakah program berbentuk ini dapat memberi kesan membina dan yang mendalam terhadap masyarakat secara keseluruhannya padahal peserta yang berpeluang mengikuti program sebegini hanya terhad kepada berpuluh- puluhan orang. Dengan hanya bergantung kepada perlaksanaan program antarabangsa, sememangnya ia tidak memadai untuk menyumbangkan perubahan yang drastik. Ia memerlukan komitmen dan kesanggupan belia terutamanya golongan mahasiswa yang telah banyak bergiat aktif dalam aktiviti- aktivit bersifat antarabangsa untuk menerap masuk erti kesinambungan, keeratan, keakraban dan kesaudaraan ke dalam jiwa dan raga keluarga besar kita.

Di arena antarabangsa, persamaan dari segi perjuangan dan matlamat yang didukung oleh semua negara seperti keamanan sejagat dan perdagangan bebas lebih diberi keutamaan berbandingkan perbezaan dari segi ekonomi, sosial, budaya dan politik dari negara ke negara. Dalam usaha mencapai keamanan dan pembangunan sejagat, 192 negara yang menganggotai Persatuan Bangsa- Bangsa Bersatu ataupun lebih dikenali sebagai United Nations terpaksa menerapkan sikap keterbukaan supaya persefahaman antara rantau dan blok dapat dipertingkatkan. Sikap mementingkan diri wajar dikikis, bersikap keterbukaan tidak sesekali bermakna kita mengenepikan kepentingan negara kita. Secara tuntasnya, dalam memperjuangkan dan memartabatkan kepentingan negara masing- masing; kepentingan negara perlu diseimbangi dengan kepentingan sedunia. Ini merupakan antara nilai- nilai yang perlu kita semai dan terapkan dalam kalangan masyarakat kini.

Seandainya suara dan kekuatan mahasiswa Indonesia dapat tumbangkan kerajaannya pada tahun 1998, inilah hakikat kekuatan mahasiswa yang digelarkan Indonesia. Di Malaysia, walaupun mahasiswanya tidak begitu ‘agresif’ berbanding rakan- rakan di Indonesia, namun peranan berhemah dan berdaulat mahasiswa tidak boleh dilihat enteng. Mahasiswa hari ini mesti memainkan peranan masing- masing sebagai mekanisme untuk “menambatkan” hubungan keeratan dan kekeluargaan antara Malaysia dan Indonesia yang telahpun berakar sejak zaman nenek moyang kita. Inilah suara mahasiswa yang mampu membawa perubahan serta memberi keyakinan kepada dunia bahawa dunia pada hari ini masih cerah harapannya.

Usaha mengharmonikan lagi keluarga besar Indonesia dan Malaysia sudah tentu dapat memupuk kerjasama antara kedua- dua negara khususnya dalam bidang ICT, ekonomi dan lain- lain lagi. Sebagai negara- negara anggota ASEAN, kerjasama Malaysia dan Indonesia dalam membangunkan rantau ini tidak boleh dinampak goyah. Kita tidak boleh berdendam- dendaman walaupun dalam perkara remeh atas sebab ia tidak memberi manfaat melainkan kepada pihak ketiga yang ingin melihat kita berselisihan sesama sendiri. Tun Dr. Mahathir pernah berkata, “ada orang lain yang sedang menunggu peluang untuk melihat kita bergaduh kerana ini akan memberi keuntungan kepada mereka”. Pendek kata, kita tidak sanggup benarkan kuasa- kuasa barat ‘menerobosi’ permuafakatan kita seperti apa yang telah diperlakukan ke atas benua timur tengah dan Arab.

Perubahan ini bukan suatu yang mustahil, ia merupakan suatu cabaran yang mana semua rakyat baik Malaysia mahupun Indonesia mesti berganding bahu bagi mengembalikan keakraban dan keeratan hubungan persaudaraan dalam keluarga besar ini.

Seperti kata Mahatma Gandhi “You must be the change you wish to see in the world”. Justeru, perubahan itu perlu bagi manfaat bersama.

Tey Jun Ren/ JR
Presiden
Persatuan Mahasiswa Undang- Undang Asia
Fakulti Undang- Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia

(Diterbitkan di mStar)

1 comment:

  1. hubungan Malaysia dan Indonesia sememangnya ada pasang surut. ini rentetan permasalahan politik dalaman indonesia sendiri serta sikap sesetengah rakyat Mlaysia yang langsung tak menghormati para pekerja Indonesia khususnya amah di Mlaysia. lihatlah beberapa kes yanng menggambarkan majikan malaysia yg tidak sensitif terhadap amah indonesia cthnya soal gaji,soal agama dsb.

    apapun permasalahannya, sampai satu tahap kita perlu mengkaji hubungan kita dgn indonesia supaya kita tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing yang majoritinya dtg dr negara jiran itu. walapun mereka hanya pekerja tidak mahir atau pekerja separa mahir, namun, merekalah juga terbinanya bangunan hebat negara hari ini..

    kedaulatan malaysia perlu dijaga. sebarang pencabulan kedaulatan kedutaan perlu dipandang serius dan diambil tindakan sewajarnya.

    ReplyDelete