Friday, May 14, 2010

Kesan undang- undang atas perbuatan menyatakan "sokongan" kepada parti politik di bawah AUKU.

Saudara- saudari,

Salam dan selamat sejahtera. Berkenaan insiden di mana 4 pelajar UKM yang bakal didakwa di bawah Seksyen 15(5)(a) yang akan dibicarakan pada 3 Jun di Universiti Kebangsaan Malaysia atas perbuatan menyatakan "sokongan" kepada Parti Politik Pembangkang- Pakatan Rakyat melalui edaran CD semasa minggu berkempen Pilihanraya Kecil Hulu Selangor, banyak antara kita termasuklah ibu- bapa yang telah lama meniggalkan menara gading bertanyakan APAKAH "GANJARAN" BAKAL DITERIMA SEKIRANYA MEREKA DISABITKAN BERSALAH DI BAWAH TUDUHAN S.15(5)(a) AUKU 1971.

Terlebih dahulu, izinkan saya kongsikan apakah sebenarnya yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15(5)(a) AUKU 1971:

Tiada seorang pun pelajar Universiti dan tiada pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, boleh menyatakan atau melakukan apa- apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada atau simpati dengan atau bangkangan terhadap mana- mana parti politik, sama ada di dalam atau di luar Malaysia.

Ulasan saya akan dibahagikan kepada 3 bahagian utama di mana:

1) Tafsiran perkataan "PELAJAR" dalam peruntukan S.15(5)(a)
2) Syarat Utama"...semunasabahnya ditafsirkan...menyatakan sokongan"
3) Implikasi undang- undang.

1) Tafsiran perkataan "PELAJAR" dalam peruntukan S.15(5)(a)

1.1) PELAJAR
Menurut Seksyen 2(d) AUKU(Pindaan) 2009, "pelajar" ertinya seseorang pelajar berdaftar, selain pelajar di suatu institusi yang bersekutu dengan Universiti atau Kolej Universiti, yang mengikuti kursus pengajian, pengajaran, latihan atau penyelidikan daripada apa- apa perihalan pada peringkat persediaan, praijazah, lepas ijazah atau lepas kedoktoran secara sepenuh masa atau sambilan dalam, oleh atau dari Universiti atau Kolej Universiti itu, dan termasuklah pembelajaran jarak jauh, luar kampus, pertukaran dan pelajar tidak berijazah.

Di sini, saya merasakan tiada perlunya saya mengurai secara "in detail" dalam situasi kita sebab kita sedia maklum bahawa keempat- empat masiswa ini merupakan pelajar pra-siswazah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian dalam bidang Sains Politik.

2) Syarat Utama- "...semunasabahnya ditafsirkan...menyatakan sokongan"

2.1) DI sini, apa yang diperuntukkan hanya "munasabah". Persoalannya, keputusan bagaimanakah yang boleh dikira sebagai munasabah.

Untuk tujuan ini, suka saya petik penerangan "munasabah/ reasonableness" daripada Lord Greene dalam kes ASSOCIATED PICTURE HOUSES LTD V WEDNESBURY CORP [1948] di mana beliau mengatakan:

"... the test of unreasonableness is not what the courts think is reasonable, but 'unreasonable' here is 'something so absurd that no reasonable or sensible person could have come to that decision'..."

Dalam konteks perundangan Malaysia, prinsip digariskan dalam kes WEDNESBURY telah diterimapakai. Dalam kes ORIENTAL INSURANCE CO LTD V MINISTER OF FINANCE [1992], Mahkamah Tinggi dalam penghakimannya:

"...quashed the Minister's order as being 'irrational being so outrageous in its defiance of logic and/ or accepted moral standards that the consequence was manifest injustice caused to someone who was completely innocent of any wrong doing'..."

Dalam kes HARPENS TRADING (M) S/B V NATIONAL UNION OF COMMERCIAL WORKERS [1991], Mahkamah Agung:

"...we reject the contention that the decision of the Industrial Court is so manifstly unreasonable that no body of persons could have reached it..."

Persoalannya jelas mengenai samada perbuatan "mengedar CD" bagi pihak parti politik menjurus kepada perbuatan yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan kepada parti politik tersebut. Dengan mengaplikasikan ujian- ujian yang telah diputuskan dalam beberapa kes utama oleh mahkamah Malaysia, bagi seseorang yang mampu berfikiran secara waras dan munasabah perbuatan mengedar CD oleh remaja(mahasiswa universiti) yang berusia lebih daripada 21 tahun bagi pihak parti politik tidak kiralah mana- mana parti politik; ia adalah memadai dan rasional untuk mengatakan bahawa "pengedar" ini menyata sokongan terhadap pihak tertentu.

Saudara- saudari, sebenarnya perbuatan mengedar CD bagi pihak parti politik Pakatan Rakyat ini adalah cukup "simple" untuk kita nilai samada ia bersifat menyatakan sokongan kepada pihak parti politik tertentu. Cuba anda nilaikan perbuatan ini secara rasional, tenang dan tidak beremosi; sudah pasti anda bersetuju dengan pendapat saya.

3) Implikasi Undang- undang

DI bawah Seksyen 15(7) AUKU (Pindaan) 2009, mana- mana pelajar Universiti yang melanggar subseksyen (1) atau (5) boleh dikenakan tindakan tatatertib.

Selain S.15(7), perhatian juga perlu diberikan kepada Seksyen 15B di mana jika suatu kesalahan boleh daftar telah dilakukan di bawah mana- mana undang- undang bertulis dan kesalahan itu telah dilakukan atau berupa sebagai telah dilakukan atas nama atau bagi pihak mana- mana pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar Universiti yang ditubuhkan oleh, di bawah atau mengikut Perlembagaan, tiap- tiap orang yang disabitkan atas kesalahan itu boleh dikenakan tindakan tatatertib dan pertubuhan, badan atau kumpulan pelajar itu hendaklah diuruskan mengikut seksyen 16.

Seksyen 15D(1)(a) dan (b): Jika sseorang pelajar Universiti dipertuduh atas suatu kesalahan boleh daftar dia boleh, mengikut budi bicara Naib Canselor, DIGANTUNG DARIPADA MENJADI SEORANG PELAJAR dan Jika seseorang pelajar Universiti yang dipertuduh atas suatu kesalahan boleh daftar di bawah subseksyen (1) disabitkan atas kesalahan itu, pelajar itu boleh dikenakan tindakan tatatertib.

SEKIRANYA 4 MAHASISWA DSABITKAN KESALAHAN, ini tidak bermakna masa depan untuk mereka terus menuntut di Universiti telah tamat kerana Seksyen 15D(6) membenarkan mereka dimasukkan balik ke Universiti dengan syarat mendapat kelulusan daripada Menteri dalam masa empat belas hari dari tarikh penerimaan notis penggantungan atau pembubaran itu, merayu secara betulis kepada Menteri dan ini adalah berlandaskan Seksyen 16(2).

Di bawah Seksyen 16C(2), Kaedah- kaedah tatatertib yang dibuat di bawah seksyen ini boleh termasuk peruntukan bagi penggantungan seseorang pelajar Unversiti semasa prosiding tatatertib belum selesai.

* Provisi ini memberi bidangkuasa kepada Lembaga Tatatertib untuk menggantung pengajian 4 mahasiswa yang didakwa di bawah S.15(5)(a) walaupun prosiding belum tamat dan selesai.

Di bawah Seksyen 16C(3), Kaedah- kaedah tatatertib yang dibuat di bawah seksyen ini hendaklah mewujudkan apa- apa kesalahan tatatertib dan mengadakan peruntukan bagi apa- apa hukuman tatatertib yang difikirkan sesuai oleh Lembaga, dan hukuman yang diperuntukkan sedemikian boleh meliputi PEMBUANGAN PELAJAR daripada Universiti.

Petikan ini bertujuan memberi satu gambaran berkenaan peruntukan- peruntukan di bawah Akta Universiti Kolej Universiti 1971 mengenai kesalahan yang dituduh di bawah S.15 dan tidak berniat untuk membuat satu penghakiman/ keputusan lebih awal sebelum perbicaraan selesai.

Yang ikhlas,
JR

No comments:

Post a Comment